Geng Aku

Friday, June 10, 2011

Musafir....

“Jack, jom lepak, jap lagi aku tiba dengan budak-budak ni semua. Siap ok? Kita biar Ayer Jernih menjerit malam ni”, panggilan itu seperti hari hari yang lain.




    Sama, tetap tidak berubah. Saban malam hinggalah ke pagi, ada sahaja destinasi mereka. Sebuah destinasi tanpa hala tuju yang pasti. Alasannya untuk mencari keseronokan. Namun, kadang-kadang dirinya terasa bingung. Mengapa dirinya tidak pernah teruja untuk membelah malam seperti mereka yang lain? 






     Mengapakah kekosongan sering jua bertandang, walaupun yang diharapkan adalah limpahan hiburan? Dia hanya mampu mengeluh. Terkulat-kulat dia mencapai sehelai T-Shirt berlengan pendek bergambar tengkorak dihadapannya dan disarung ke tubuh. Kunci motor diambil dan dia terus menuju ke ruang tamu. Disitu, ayah, ibu dan kakaknya sedang leka menonton filem kegemaran mereka. Tidak seperti anak-anak belasan tahun yg lain yg selalunya akan memberitahu kemana mereka ingin pergi kepada orang tua mereka namun dia hanya membisu. 




      Langkahnya semakin laju, dibiarkan sahaja wajah-wajah tua itu tanpa sebarang bicara. Diluar, kira-kira tujuh buah motorsikal sedang menanti. Siang, malam, suasana dirumahnya tetap meriah dengan pelbagai bunyi motorsikal. Jiran-jiran hanya mampu tersenyum, entahlah itu senyuman mesra atau senyuman yg bersalut jutaan rasa meluat dan benci. Hati manusia, siapa yg tahu...



“Jadi tak kau bukak game malam ni? Berape orang sekali main? Aku macam biase la, tengok sudah, bukan aku tau sangat pun nak bawa motor ni. 




     Karang terbabas, mahunya berbirat kene tebas dengan bapak aku tu kalau motor ni aku jahanamkan”, kata Jack dengan ikhlas. Sememangnya hatinya agak kecut apabila kenderaan beroda dua itu mula bergerak laju. 




    Temannya hanya mampu tersenyum. “Hari ni, budak-budak pangkah datang, nak try line sini kate diorang. Tempat diorang line dah panas. So, kau nak jd bookie ke atau kau nak tengok je?” Keningnya diangkat sedikit menginginkan respon dari sahabat baiknya itu.




 “Aku tengok jela, malas lah nak duduk lama-lama. Jap lagi ade kasino kat umah botak, kau nak ikut tak? Aku dengar malam ni bet paling sikit pun 3 sen (RM30) tau. Kalau menang la, pakcik kayo!” Jack kelihatan amat teruja kerana jika nasibnya baik, mungkin dia akan mendapat wang banyak malam itu.






 “Hah malas lah aku, kat sini banyak lauk, manelah tau aku dapat makan sekor ke, sedap jugak. Kau pergilah mampus dengan kasino kau tu, nanti kalau menang payung-payung le aku sikit ye?” jawab Shahrul dengan senyuman.






 Memang kasar bahasa mereka, namun itulah bahasa kehidupan. Ya bahasa kehidupan anak muda mungkin.
Enjin RG dihidupkan, dan tanpa bersama rakan-rakan lain yg mengekori, Jack bersendirian menuju ke sebuah destinasi. Bukan ke rumah botak seperti yang direncanakan awal malam tadi, tapi kesebuah tempat yang dirinya rasa ada ketenangan disitu. Pantai Permaisuri sememangnya menjadi tempat dia bersendirian. Bebas dari hiruk pikuk enjin kenderaan, bebas dari jeritan sorakan yg entah apa dan mengapa dilontarkan. Dia tenggelam bersama lagu-lagu yg dimainkan didalam Mp3 nya. Disitu kelihatan beberapa pasangan sedang berpelukan. Mungkin sedang saling berjanji untuk sehidup semati. Ciuman dan pelukan menjadi bukti cinta mereka, cinta yang abadi. Benarkah? Anak luar nikah juga yg sering dihasilkan, tanda cinta mungkin.
Tiba-tiba hatinya berbicara. Mungkinkah cinta mampu mengisi sebuah kekosongan dihatinya? Jika benar, siapakah yang mampu di jadikan teman. Bersediakah dia? Tanpa sebarang bicara, dia kembali tenggelam bersama teman sejatinya – muzik.



++



“Shah, best tak bercinta ni? Aku tengok awek kau punyalah ramai. Apa yang seronoknya ade awek ni ye?” Tanpa berselindung Jack bertanya kepada teman rapatnya itu.


 Dia memang tidak pernah segan untuk bertanya atau berkongsi segala masalah kepada temannya itu kerana mereka telah lama berkenalan sejak di sekolah tadika lagi.


 “Hai, sejak bila pulak lah kau nak jadi mat bunga ni? Setahu aku, kau bercinta dengan cat dan besi je. Tapi jujur lah aku cakap, memang best lah ade awek ni, kurang-kurang ade lah orang kite nak berkongsi cerita, lepas tu tak adelah bosan je memanjang aku nak tengok muke kau yang buruk tu, dah la nerd haha,” Shahrul sememangnya gemar menyakat temannya itu dan dia tahu, kutukkan seperti itu tidak akan mengguris hatinya.






 “Amboi, sedap-sedap je kau cakap muke aku buruk, habis, muke kau tu hensem sangat ke, hai tolong la tengok2 cermin tu sikit ye!” Jack membesarkan bebola matanya.






 “Tapi aku rase aku dah terminat la kat sorang budak tu, nantilah aku try tackle ok?” Mereka berbalas senyuman dan beberapa minit kemudian, mereka berkejar-kejaran di lebuh raya AMJ untuk pulang kerumah masing2.



++



Kehadapan cik Aliyah binti Harun, saya Jefri Bin Abas ingin meluahkan.... “Ish, apa aku tulis ni, macam karangan kat sekolah la pulak” getus hati Jack. 






    Setelah memadam semua huruf-huruf di skrin telefon bimbitnya itu, dia mula menulis semula mesej yg ingin dihantarnya tadi. Leeya, sorry kalau kau tak suke, tapi aku nak cakap ni, aku nak jadi boyfriend kau lah, boleh tak? 






   “Ah lantaklah, dia terima Alhamdulilah, kalau tak nak, aku cari lain, ape susah” dia bermonolog sendirian lagi. Nasib Jack baik, mesejnya bersambut mesra di pihak yang satu lagi. Maka, bermula malam itu, Jack mula kenal erti cinta. Cintakah itu Jack? Entahlah.



++



Siang, malam, telefon bimbitnya sentiasa berbunyi. Mesej dari pihak sebelah sana benar-benar membuatkan hatinya berbunga. Mana tidaknya, kini sudah ada insan yg akan bertanya sama ada dia sudah makan atau belum, sudah mandi, sudah berus gigi dan sebagainya. 




“Inilah bahagia.” Kata Jack didalam hati. 




Bermula dari SMS, kini dia sudah berani untuk menelefon pihak seberang. Suara yang halus dari si gadis, membuatkan hati si tukang besi itu cair. Kemudian, setelah bual bicara menjadi mesra, sebuah pertemuan pula diatur mereka, Mula-mula berempat, kerana si gadis ditemani adik-adiknya, namun jumlah itu mula berkurangan hinggalah tinggal mereka berdua. Kini dia telah mula berani memegang tangan si gadis, namun tidak cukup dengan itu, pelukan pula dimintanya. Memang seperti suami isteri lagak mereka. Apabila Jack menghantar si jantung hatinya pulang ke rumah, tangannya tentu akan disalami dan dicium si gadis, dan dia pula tentu akan mengucup dahi si gadis. “Alah, nanti jadi isteri aku jugak, ape nak takut” Jack seperti terlalu yakin bahawa Aliyah akan menjadi isterinya suatu hari nanti.



++



Bulan berganti bulan, kini musim hijrah berlaku kepada semua golongan muda mudi yang telah menamatkan alam persekolahan. Kini tiba masanya mereka ke alam IPT pula. Jack menerima tawaran untuk melanjutkan pelajarannya ke luar tanah semenanjung manakala Aliyah pula ke pantai timur. Mereka mula terpisah, dan akibat jarak yg semakin menjauh, hubungan mereka juga kian retak dan akhirnya punah jua. Jack yang baru ingin menyesuaikan diri di tanah asing itu benar-benar kecewa. 




    Bahagia, gembira dan segala jenis keindahan yg diharapkan mula musnah. Dia seperti hilang arah tuju. Mahu sahaja dia pulang ke kampung halaman, tapi apa yang ada? Terasa mahu sahaja dia menghukum kebodohan dirinya dengan terjun dari bilik asramanya kerana terlalu percaya kepada cinta sang manusia. Namun kewarasan masih lagi bersisa. Dia pasrah. Dalam kepedihan sewaktu dirinya bersendirian, dia mula mendapat teman-teman baru. Namun dia kurang gemar bergaul dengan mereka. Mereka seperti mahluk asing. Manakan tidak, si teman baru berserban, si teman baru melaungkan azan, si teman baru pandai membaca Al Quran. 




    Dia? Solat Jumaat juga selalu terlupa, inikan pula solat fardu. Jangan haraplah dia akan menunaikan kewajipannya itu. Dalam paksa rela, dia menurut sahaja pergerakkan teman-teman barunya itu. Walaupun hatinya menerawang entah kemana, namun dia terasa ada keistimewaan dan kemesraan di situ. Ya, tempat yang paling asing baginya itu kini menjadi rumah kedua selepas asramanya- masjid.



Suatu hari dia terdengar kata-kata dari seorang daripada temannya itu. “Allah datangkan cubaan kepada kita bersebab, cubaan datang kerana dia ingin kita dekat padanya bila kita bersedih. Jadi jangan salahkan takdir Allah, dan bersyukurlah kerana masih lagi dikurniakanNya jalan untuk kita kembali tersedar dari terus tersasar”.




      Air mata Jack, atau kini lebih gemar dikenali sebagai Jefri menitis perlahan-lahan tanpa disedari mereka yang lain. Inilah jalan kebahagiaan, pengisi segala kekosongan katanya dalam lirih airmata yg kini semakin deras mengalir di pipi. –Jack/Jefri.







*kisah rekaan atau kisah benar jangan dipersoalkan, sekadar renungan untuk terus-terusan difikirkan.. Mana bahagia? Apa jalan bahagia.? Mungkinkah hiburan? Adakah harta? Mungkin kelajuan? Mungkinkah teman wanita? Atau.... jalan mencari tuhan, jalan mencari rahmat Allah... Mungkin Jack telah ketemu jalannya namun adakah dia akan terus kekal di jalan itu? Aku tak tahu, jangan tanya aku!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jejak Kasih