Geng Aku

Saturday, December 7, 2013

Luruh

Langit suram tanpa cahaya kerana dilindung oleh awan hitam yang berarak perlahan dari tadi. Dia masih lagi termenung seorang diri membuang pandang yang entah kemana tujunya. Pipinya masih basah meluahkan ratapan hati yang tiada siapa ingin mengambil tahu.

Dia memeluk erat tubuh kecilnya itu sambil leka memerhati anak-anak ketam mengikut ibunya pulang kesarang. Walaupun ibu ketam itu masih lagi gagal mengajar anaknya berjalan lurus, namun tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah terabai. Tiba-tiba muncul wajah ibu yang kini makin samar dibenak mindanya.

“Ibu, apa salahku hingga aku terbuang begini? Ibu, apakah tidak kau sayangi aku, anakmu ini yang sedang perit menyimpan segala pedih akibat perbuatan si laknat durjana itu? Ibu,kenapa amat payah untuk kau mempercayai kata-kataku?” Jeritan kata-katanya itu hanya terzahir dari hati.

Masih segar lagi diingatannya tika ibu menghalaunya keluar dari rumah dua minggu lalu. Katanya dia ini anak jijik, anak keji. Dialahlah si pendosa yang menconteng arang kemuka keluarga manakala silaknat itu pula dianggap suci dan mulia.

“Payah benarkah untuk kau mempercayai kata-kataku ini ibu? Kenapa tiada siapa yang sudi membantu? Malah kejian juga yang aku terima dari mulut-mulut manusia durjana. Ibu, aku kesakitan ibu, aku kesunyian, aku perlu pertolonganmu. Aku perlu dimengerti. Bukan aku mereka-reka cerita, tapi inilah kebenaran yang telah lama aku simpan. Dia bukan malaikat seperti yang disangka ibu! Jika dia duduk disebelah syaitan sekalipun, aku rasa dialah yang lebih buruk dari itu.” Sekali lagi kata-katanya itu hanya bergetar didalam hati.

Tangan kirinya menggenggam erat jam pemberian ayah empat tahun lalu. Jika ayah masih ada, tidaklah dia dibuang begini. Jika ayah masih ada, tidaklah dia diperlakukan sebegitu oleh ibu. Benar, si laknat durjana itu dipandang mulia oleh mereka semua. Dia sahaja yang selalu dipandang sinis kerana perilakunya yang kasar dan keras itu. Namun itu sahaja dosanya kerana dia tidak pernah cuba berkelakuan seperti gadis-gadis biasa. Rimas!

 Namun dia masih lagi tahu halal dan haram, dia masih lagi kenal syurga dan neraka. Cuma, biasalah, aurat itu mungkin sukar untuk dijaganya. Namun itu tidaklah pelik kerana umurnya juga baru mencecah 14 tahun hari ini.

Sebatang ranting kayu diambil dan perlahan-lahan, lalu dia mencoretkan sesuatu di atas pasir basah ditepi pantai itu. “Selamat hari lahir Harfina Darwisya”

Kemudian terbit manik-manik jernih dari pipinya yang kian cengkung. Dia masih ingat lagi bagaimana silaknat itu datang ke biliknya saban malam apabila ibu keluar bekerja. Katanya ingin menemani dia supaya tidak takut tidur berseorangan. Namun, makin hari, makin pelik perlakuannya.

Hinggalah tiba suatu malam apabila si laknat itu menodainya. Kemudian makin hari makin berani dia melakukan perbuatan terkutuk itu. Dia diugut akan dimalukan jika dia memberitahu ibu akan perkara itu. Kerana tidak tertahan lagi menyipan beban yang ditanggung selama ini, dia mengambil keputusan untuk menceritakan hal itu kepada ibu. tidak sanggup lagi dirinya dibiarkan diratah tanpa dibela. Harapannya agar ibu sudi membantu. Namun keputusan itu jelas silap kerana ibu bukan sahaja memakinya, malah dia juga dipukul oleh ibu. Jelas, ibu amat sayang kepada si binatang itu.

Mujur disekolah ada guru yang ingin mengambil tahu. Lalu diceritakan  semua kisahnya kepada guru itu. Bila sahaja gurunya itu cuba melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,  ibu dipanggil untuk memberi jaminan agar laporan boleh dilaksanakan. Malangnya, ibu enggan bersetuju kerana dikatanya apa yang anaknya ceritakan itu hanyalah cerita palsu

Hari itulah juga dia dipukul bertalu-talu oleh ibu. Si bangsat durjana itu tersenyum kepuasan menyaksikan perkara itu. Kemudian si laknat itu berpura-pura pula mempertahankan dirinya dan cuba menunjukkan simpati. Lagilah menjadi-jadi radang ibu hari itu hingga dia dihalau keluar dari rumah.

Gurunya yang tadi ingin membantu tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia tiada kuasa penjaga. Ya, amalan protokol yang gila inilah yang menghalang dirinya dari mendapatkan hak menuntut bela. Ujian kesihatan terhadap bahagian sulitnya tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan penjaga.

Lalu dia mengikut gurunya itu dan tinggal dirumah gurunya itu selama seminggu sebelum dia melarikan diri ke hutan paya bakau ini. Apa tidaknya, dirumah gurunya itu, dia dipandang sinis oleh ahli keluarga si guru kerana ahli keluarganya itu juga telah diracun oleh umpat dan keji masyarakat. Kerana tidak tahan dilanyak mentalnya, lalu hari ini, setelah tujuh hari dia bersendirian disitu, dia nekad untuk melakukan sesuatu.

“Ibu, fina pergi dulu. Maafkan fina kerana memalukan ibu. Tapi percayalah ibu, Fina tidak pernah sesekali menipu tentang perbuatan dia.” Itu coretan terakhir yang ditulisnya disebelah tulisan hari jadinya itu.

Perlahan-lahan, tubuh kecilnya bergerak menuju ke arah lautan yang makin menggila ombaknya. Air mula meninggi dari paras lutut, ke pinggang dan akhirnya ke seluruh anggota badan.

Hari ini, hilanglah satu lagi permata berharga yang mungkin boleh menjadi penggalas masa depan negara. Dia pergi kerana peraturan yang digubal manusia, dia pergi kerana situasi dan kerana cinta buta si ibu. Jika ibunya tidak terlalu kasihkan si laknat itu, pasti nasibnya terbela.

Ya, silaknat itu adalah si ayah tirinya. Harap sahaja menggalas status YB, orang besar-besar didalam komuniti. Namun kepercayaan masyarakat digunakan sebaliknya untuk kepentingan peribadi.

Dan… tubuh kecil itu terapung-apung kini dan tidak bernyawa lagi. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jejak Kasih