Geng Aku

Tuesday, December 10, 2013

Bila diri diuji

Kelihatan dia duduk termenung seorang diri di suatu sudut dihujung kelas itu. Lalu aku menghampiri untuk mendengar kisahnya. Moga-moga bebanan yg ditanggungnya itu dapat dikurangkan.

"Aku tak apa-apalah zul, aku tengah sedih ni, kau tau, semalam aku gaduh dengan Suria, dan lepas tu dia cakap yang sayang dia pada aku dah makin kurang". 

Sedarlah aku bahawa dia sedang mempunyai konflik dalam hubungannya bersama si gadis.

"Oh, kenapa pulak dia jadi makin tak sayang pada kau? Mesti bersebab kan?" pertanyaan kembali dilontar untuk memancing fakta yg lebih mendalam

"Aku tak tahulah, mungkin dia dah suka lelaki lain, mungkin aku yg terlampau bersikap possessive, mungkin aku terlalu memaksa, aku tak tahulah zul!" nampak matanya mula berair. Terlalu sedih agaknya.

" Hurm, macam tu, tak tahulah pulak aku nak bantu kau macam mana. Tapi bagi aku, masalah kau ni mungkin ada mesej tersembunyi dari Dia"

"dia? eh, Suria ada bagi tahu kau apa-apa ke?" Mukanya penuh tanda tanya dan sah dia tidak dapat menangkap mesej yg cuba disampaikan.

"Dia yg aku maksudkan bukan Suria, tapi Dia yang aku maksudkan ialah Allah. Mungkin selama kau dengan Suria ni, kau makin jauh dari Allah. Kau makin lalai. Jadi, mungkin Allah tarik balik Suria dari kau sebab kau belum bersedia. Apa yg aku nampak, waktu kau bersama Suria, kau sama seperti mereka-mereka yang lain, makin lalai, makin sibuk dengan dunia kau sendiri. Jadinya mungkin Allah bg pesanan pada kau melalui ujian macam ni. Allah sentiasa rindukan hambanya, kau tahu kan?"

Dia kelihatan terdiam, mungkin sedang menyusun ayat untuk membidas kata-kataku tadi.

"Itu ke yang kau nampak zul? Maksud kau aku makin teruk? macam tu?"

"Hurm, mungkin ya, mungkin tak, itu hak kau untuk menilai diri sendiri. Aku cuma nak bagi pendapat dan aku nak kau lihat lebih jauh. Aku tak suka tgk ada orang yg bersedih semata-mata demi cinta. Cinta ke macam tu kalau kau boleh jadi tak tentu hala, jadi serba tak kena, jadi moody? cinta ke?"

"Tapi aku memang serius dengan Suria, kau pun tahu kan aku macam mana? Aku plan nak jumpa parents dia tak lama lagi, tapi tiba-tiba jadi macam ni pulak, aku sedih kot!"

"Haa, tu silap kau, kau terlalu mendesak mungkin. Aku tengok kau macam tak bagi peluang untuk Suria ada kehidupan sendiri. Dia masih muda, jauh dari umur kita, mungkin waktu sekarang ni lah dia nak kenal dunia, dia nak cuba segala benda, tapi aku selalu nampak kau halang dia, kau kongkong dia"

" Tapi aku takut nanti dia dalam bahaya, aku takut nanti dia tinggalkan aku. Kau tahu kan berapa ramai lelaki-lelaki hidung belang dimana-mana. Aku taknak dia sedih itu sje zul". Mukanya seakan merayu rayu meminta difahami.

"Ya, aku faham, kau betul-betul sayangkan dia. Tapi bukan dengan cara menghalang dia dari bergaul dengan kawan2 dia. Bukan dengan cara kau jadi cepat cemburu buta. Itu possessive namanya, kau jadi pentingkan diri bila kau buat macam tu. Satu soalan je yang aku nak tanya pada kau, kau tu siapa nak halang dia? Kau belum ada apa-apa ikatan yang sah bukan?"

" Tapi, tapi...." Dia kelihatan tenggelam dengan kata2nya sendiri.

"Dah tak ada tapi2. Memang patutlah Suria jadi hilang rasa sayang pada kau, sebab kau pentingkan diri! Lagi satu, kalau kau nak jadikan dia isteri, bukan macam ni caranya. Halang dia, kongkong dia, ni bukan cara yg betul. Jika betul kau nak jadikan dia isteri, kau kena bersabar, kau kena tunggu waktu dia bersedia. Lagi satu, bila kita sayang seseorang tu, kita mesti nak bawak dia sampai ke syurga kan? Bukan sekadar nak bercintan-cintun, bersayang-sayang 24 jam, tapi tak ada apa2 makna. Sekarang, kau biarlah dia dulu, biar dia bebas nak buat apa, nak bergaul dengan sesiapa pun. Kalau betul kau berdua ada jodoh, aku jamin, dia takkan kemana-mana."

" Aku sedih la zul, macam mana ni?"

"Kadang-kadang, kesedihan itu perlu untuk kita kembali pada fitrah. Bila iman kita makin lemah, jiwa kita yg rindukan Islam tadi akan perlahan-lahan mati sebab kita tak bagi makanan rohani pada dia. So kau patut bersyukur sebab bilamana jiwa kau hampir mati ni, Allah bagi kau mesej yg berupa ini. Dia tarik balik seseorang yg kau sayang, sebab Allah nak kau sayang orang tu dalam erti kata yang sebenar. Tak mustahil juga mungkin kau sekarang sedang sayangkan jodoh orang lain, kita tak tahu kan?'

"Hurm betul jugak apa yg kau cakap tu.. Aku sedar, aku semakin jauh dari Dia dan dalam masa yg sama aku heret Suria ke arah yg sama. Apa yg perlu aku buat Zul?" matanya berkaca-kaca

"Untuk sekarang ni, kau carilah diri kau yg semakin hilang tu. Kau bina semula jati diri muslim. Jadi bapa yg baik terhadap diri kau sendiri dulu. Didik jiwa kau supaya menjadi seorang yg betul2 beriman. Hah, teringat aku pada ayat ini...

 "Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (QS. Al-Baqarah [2] : 214)

 ya, mungkin ujian yg kau terima tu merupakan kesenangan, iaitu sewaktu kau bersama suria. So sekarang kau boleh buat refleksi diri, apa yg patut kau ubah betul tak? Moga-moga kau tak ulangi lagi kesilapan yg sama. Boleh macam tu?" aku merenung tepat kematanya untuk mendapatkan jawapan."

"Ya zul, ni bukti aku dah gagal bila diuji. Cepat je aku tersasar. " Mukanya sedikit kelat

"Aku harap perbualan kita ni boleh membuat kau sedar. Sekarang ni, kau carilah Dia, bertaubatlah, istighfar banyak-banyak. Soal suria, janganlah kau fikirkan sangat sebab jika dia betul2 untuk kau, sekali lagi aku jamin dia takkan kemana-mana. Tapi aku harap kau pasrahlah jika dia bukan untuk kau. Boleh macam tu? Boleh kau janji kau takkan bersedih lagi? Dan boleh kau janji kau akan cuba menjaga iman, walaupun ketika kau dilimpahkan dengan kesenangan?" Soalan kembali bertukar tangan.

Namun dia hanya tersenyum dan kemudian hilang dari pandangan. Baru aku sedar aku sedang bersendirian. Allah, ya aku sedar, kekadang keasyikan dengan cinta ciptaan syaitan itu boleh menjatuhkan dan selalunya menyesatkan. Mujur dugaan datang untuk kembali menyedarkan.  Perlahan-lahan langkah aku atur keluar dari kelas kosong itu. Matahari hari itu bersinar cerah dan langit tidak dilindung awan hitam yg membawa hujan. Hari yg indah untuk mulakan langkah baru.. InsyaAllah


*Kepada sesiapa sahaja diluar sana yg rasakan diri diuji dengan kesusahan atau kesedihan, bersyukurlah! Janganlah bersedih, kerana dugaan berbentuk kesedihan selalunya lebih mudah untuk mendekatkan kita padaNya. Apa yg perlu kita risaukan ialah bila mana kita diuji dengan kesenangan, kerana ujian kesenangan itu selalunya lebih berat dan lebih payah kerana kita mungkin akan mudah tersasar. Sedih dan gembira itu kedua-duanya juga ujian. Maka beruntunglah orang2 yg sentiasa mengingati Allah diwaktu susah dan senang.

Assalamualaikum.



Sedih sabar, senang jangan alpa! Semua itu Allah yg punya juga ;-)

Saturday, December 7, 2013

Luruh

Langit suram tanpa cahaya kerana dilindung oleh awan hitam yang berarak perlahan dari tadi. Dia masih lagi termenung seorang diri membuang pandang yang entah kemana tujunya. Pipinya masih basah meluahkan ratapan hati yang tiada siapa ingin mengambil tahu.

Dia memeluk erat tubuh kecilnya itu sambil leka memerhati anak-anak ketam mengikut ibunya pulang kesarang. Walaupun ibu ketam itu masih lagi gagal mengajar anaknya berjalan lurus, namun tanggungjawab sebagai ibu tidak pernah terabai. Tiba-tiba muncul wajah ibu yang kini makin samar dibenak mindanya.

“Ibu, apa salahku hingga aku terbuang begini? Ibu, apakah tidak kau sayangi aku, anakmu ini yang sedang perit menyimpan segala pedih akibat perbuatan si laknat durjana itu? Ibu,kenapa amat payah untuk kau mempercayai kata-kataku?” Jeritan kata-katanya itu hanya terzahir dari hati.

Masih segar lagi diingatannya tika ibu menghalaunya keluar dari rumah dua minggu lalu. Katanya dia ini anak jijik, anak keji. Dialahlah si pendosa yang menconteng arang kemuka keluarga manakala silaknat itu pula dianggap suci dan mulia.

“Payah benarkah untuk kau mempercayai kata-kataku ini ibu? Kenapa tiada siapa yang sudi membantu? Malah kejian juga yang aku terima dari mulut-mulut manusia durjana. Ibu, aku kesakitan ibu, aku kesunyian, aku perlu pertolonganmu. Aku perlu dimengerti. Bukan aku mereka-reka cerita, tapi inilah kebenaran yang telah lama aku simpan. Dia bukan malaikat seperti yang disangka ibu! Jika dia duduk disebelah syaitan sekalipun, aku rasa dialah yang lebih buruk dari itu.” Sekali lagi kata-katanya itu hanya bergetar didalam hati.

Tangan kirinya menggenggam erat jam pemberian ayah empat tahun lalu. Jika ayah masih ada, tidaklah dia dibuang begini. Jika ayah masih ada, tidaklah dia diperlakukan sebegitu oleh ibu. Benar, si laknat durjana itu dipandang mulia oleh mereka semua. Dia sahaja yang selalu dipandang sinis kerana perilakunya yang kasar dan keras itu. Namun itu sahaja dosanya kerana dia tidak pernah cuba berkelakuan seperti gadis-gadis biasa. Rimas!

 Namun dia masih lagi tahu halal dan haram, dia masih lagi kenal syurga dan neraka. Cuma, biasalah, aurat itu mungkin sukar untuk dijaganya. Namun itu tidaklah pelik kerana umurnya juga baru mencecah 14 tahun hari ini.

Sebatang ranting kayu diambil dan perlahan-lahan, lalu dia mencoretkan sesuatu di atas pasir basah ditepi pantai itu. “Selamat hari lahir Harfina Darwisya”

Kemudian terbit manik-manik jernih dari pipinya yang kian cengkung. Dia masih ingat lagi bagaimana silaknat itu datang ke biliknya saban malam apabila ibu keluar bekerja. Katanya ingin menemani dia supaya tidak takut tidur berseorangan. Namun, makin hari, makin pelik perlakuannya.

Hinggalah tiba suatu malam apabila si laknat itu menodainya. Kemudian makin hari makin berani dia melakukan perbuatan terkutuk itu. Dia diugut akan dimalukan jika dia memberitahu ibu akan perkara itu. Kerana tidak tertahan lagi menyipan beban yang ditanggung selama ini, dia mengambil keputusan untuk menceritakan hal itu kepada ibu. tidak sanggup lagi dirinya dibiarkan diratah tanpa dibela. Harapannya agar ibu sudi membantu. Namun keputusan itu jelas silap kerana ibu bukan sahaja memakinya, malah dia juga dipukul oleh ibu. Jelas, ibu amat sayang kepada si binatang itu.

Mujur disekolah ada guru yang ingin mengambil tahu. Lalu diceritakan  semua kisahnya kepada guru itu. Bila sahaja gurunya itu cuba melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,  ibu dipanggil untuk memberi jaminan agar laporan boleh dilaksanakan. Malangnya, ibu enggan bersetuju kerana dikatanya apa yang anaknya ceritakan itu hanyalah cerita palsu

Hari itulah juga dia dipukul bertalu-talu oleh ibu. Si bangsat durjana itu tersenyum kepuasan menyaksikan perkara itu. Kemudian si laknat itu berpura-pura pula mempertahankan dirinya dan cuba menunjukkan simpati. Lagilah menjadi-jadi radang ibu hari itu hingga dia dihalau keluar dari rumah.

Gurunya yang tadi ingin membantu tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia tiada kuasa penjaga. Ya, amalan protokol yang gila inilah yang menghalang dirinya dari mendapatkan hak menuntut bela. Ujian kesihatan terhadap bahagian sulitnya tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan penjaga.

Lalu dia mengikut gurunya itu dan tinggal dirumah gurunya itu selama seminggu sebelum dia melarikan diri ke hutan paya bakau ini. Apa tidaknya, dirumah gurunya itu, dia dipandang sinis oleh ahli keluarga si guru kerana ahli keluarganya itu juga telah diracun oleh umpat dan keji masyarakat. Kerana tidak tahan dilanyak mentalnya, lalu hari ini, setelah tujuh hari dia bersendirian disitu, dia nekad untuk melakukan sesuatu.

“Ibu, fina pergi dulu. Maafkan fina kerana memalukan ibu. Tapi percayalah ibu, Fina tidak pernah sesekali menipu tentang perbuatan dia.” Itu coretan terakhir yang ditulisnya disebelah tulisan hari jadinya itu.

Perlahan-lahan, tubuh kecilnya bergerak menuju ke arah lautan yang makin menggila ombaknya. Air mula meninggi dari paras lutut, ke pinggang dan akhirnya ke seluruh anggota badan.

Hari ini, hilanglah satu lagi permata berharga yang mungkin boleh menjadi penggalas masa depan negara. Dia pergi kerana peraturan yang digubal manusia, dia pergi kerana situasi dan kerana cinta buta si ibu. Jika ibunya tidak terlalu kasihkan si laknat itu, pasti nasibnya terbela.

Ya, silaknat itu adalah si ayah tirinya. Harap sahaja menggalas status YB, orang besar-besar didalam komuniti. Namun kepercayaan masyarakat digunakan sebaliknya untuk kepentingan peribadi.

Dan… tubuh kecil itu terapung-apung kini dan tidak bernyawa lagi. 

Wednesday, November 20, 2013

Jangan berbicara saja-saja

Jangan berbicara saja-saja
Kekadang saja-saja itu akan jadi sia sia

Jangan berbicara saja-saja
Kerna saja-saja itu membuang masa

Berbicaralah tanpa dipaksa
Bila mana perlu kebenaran itu ditegakkan asasnya

Berbicaralah dengan lantang suara
Supaya yg mendengar dapat mempelajari berjuta makna 

Jangan berbicara saja-saja
Mudah-mudahan bicara itu, bicara yang berpahala. 


~Peace!

Untitled (Seriously I don't know what is the suitable title for this post)

Pangkat, harta, dan wang ringgit menjadi pengukur hina mulia
Apa, itukah nilainya kita membenarkan kepalsuan?
Apa mudahnya kita menidakkan kebenaran hanya dengan wang sekecil nilai?
Jadi mana hilang tanggung jawab? Mana nilai amanah? Mana nilai kepercayaan?
Adakah, aku, kau dan semuanya disini adalah murahan nilainya?

Aku benci dengan dayusnya kita pada pangkat
Aku malu murahnya kita  dengan sorongan harta yg tak seberapa
Aku sedih dengan bodohnya kita kerana melesetnya cinta pada ilmu
Tapi aku sedar, ini hanya kata2 di tinta, tiada siapa yg akan mendengar coretan bisu ini
Melainkan kataku dinilai, dicuba ertikan, direalisasikan...

Mudahnya kita menyebar sesuatu fakta tanpa menilai sahih aslinya
Mudahnya kita percaya perkara2 khurafat tanpa sedar itu boleh memisahkan iman
Mudahnya, mudahnya, mudahnya mempamer kebodohan dengan kebodohan yg lainnya
Mudahnya kita menghukum tanpa mencari punca utamanya

"Takkan melayu hilang didunia" kini hanya tinggal slogan
Sedih aku pada Tok Tuah kerana kata-kata itu kita sendiri yg gugat
Melayu yang hanya tinggal di I.C...
Nilainya? Pekertinya? Hati budinya? Entah aku tak tahu kerana aku tak lagi kenal akan bangsaku ini
Semua berubah, sama, aku juga begitu
Perubahan itu perlu, tapi jika ia kearah kehancuran, aku tak rasa ianya perlu

Sedarlah,
Satu hati itu perlu
Tak kira kau hijau, atau biru
Bangunkan jati diri melayu itu
Tanamkan Islam dalam setiap perilaku
Baru, baru akan kekal kata-kata Tok Tuahku...
Baru akan bangkit umat Islam dari rumpun Melayu
Tapi.. jika api persengketaan dan hasad dengki tak pernah nak padam
Usahlah kita mimpi nak bersatu
Nak berjumpa dan bersua muka seikhlas hati pun belum tentu


Jaga iman, jaga perilaku
Kita bukan sahaja bawa nama bangsa, kita ni penggalas imej agama
Malu jika kita tidak berperilaku seperti mana yang perlu

Dengan ini, aku tamatkan hujahku
Selamat malam,
Moga esok kita bersama dalam baris yg satu..


Assalamualaikum

Wednesday, November 13, 2013

Rumah Tanpa Manusia

Rumah tanpa manusia, pelik bukan?
Rumah cantik berseri tiada isi
Siapa penghuni jika bukan manusia?
Mereka mahluk istimewa yg mewarisi sifat manusia...

Juga begitulah bumi pangamal Islam tanpa muslim
Maju, cantik dan hebat
Rasuah tak makan
Amanah dijulang
Maruah ditatang
Akhirnya negara mereka cemerlang

Namun sayang, itu bukan amalan si muslim yg negaranya itu "Islam"
Ya, mulanya aku bangga! Sungguh!
Dan benar aku sayangkan negara "Islam" ini
Namun bila kusedar,
pendirian kita sekular,
plutokrat-plutokrat bangsat memegang dasar,
demokrasi hanya bualan cerita angan dan sedar,
Aku yakin ada sesuatu yg hilang dari 'Islam' kita ini.
Gunanya apa buku panduan jika kita tak gunakan?
Hancur bukan?
Jika si bodoh masih lagi tak tahu buku apa aku maksudkan,
Adik, Abang, Pakcik, yang aku maksudkan ialah Al Quran.
Ada paham?


Pertamanya maaf,
Kerana ayat seterusnya ini kasar bunyinya,
Namun sekali lagi aku ulangi,
Aku benar-benar sayangkan negara ini,
Aku mahu kita semua dipandang tinggi, di hormati, di contohi.
Namun jika ajaran Al Quran dan As Sunnah bukan panduan
Plutokrat bangsat pula masih lagi disanjung dan di agung-agung
Ulama' dan ilmuan dipandang serong
Nilai ilmu dipandang remeh dan kosong
Kita (rakyat) masih lagi dibawah tempurung
Tak payahlah bercita-cita maju
Nak jadi negara membangun pun belum tentu

Pembangunan tanpa ilmu tak bawa kemana-mana
Harap semua segera bersedia membuka mata..
Salam sejahtera aku ucapkan kepada si muslim di negara "Islam" ini.


Assalamualaikum.

Cantik bukan? 

Friday, October 4, 2013

Bila Hanya Saf Belakang yg Kuat

Bila hanya saf belakang yg kuat
Hilanglah pemimpin-pemimpin hebat
Ramai orang yg berlagak tahu agama
Namun bodoh mereka kelihatan juga

Bila hanya saf belakang sahaja yg ketat
Maka ramailah yg tak takut membuat maksiat
Budaya sumbang dan jijik nampaknya lazat
Makin ramai yg lupa akhirat

Aku juga di saf belakang itu
Hanya mampu menggeleng bila saf depan rongak satu-satu
Badan aku sekeping, tak mampu penuhkan setiap ruang kosong itu
Harapnya makin ramai yg sudi membantu

Bila saf depan jadi kuat
InsyaAllah tertegaklah syariat
Mengagungkan Islam menjadi matlamat
Bukan sibuk menipu umat.

Tak perlu tanya puisi ini untuk siapa
Aku menulis untuk kita
Yang mana namanya muslim itu aku khaskan
Yg pemimpinnya lagilah aku khususkan

Siap sedia, masa kita di dunia bukannya lama
Nak kaya, nak bolot harta, nak bawak kemana?
Jangan bodohkan diri dengan isi dunia
Nanti, aku, kau, ya kita semua pasti merana!

Assalamualaikum pada semua yg membaca dengan mata hati,
Penutup bicara puisi aku yg sarat emosi ini.




Sunday, September 29, 2013

Sonnet 56

Sweet love, renew thy force; be it not said
Thy edge should blunter be than appetite,
Which but today by feeding is allayed,
Tomorrow sharpened in his former might.
So love be thou; although today thou fill
Thy hungry eyes even till they wink with fullness,
Tomorrow see again, and do not kill
The spirit of love with a perpetual dullness.
Let this sad int'rim like the ocean be
Which parts the shore, where two contracted new
Come daily to the banks, that when they see
Return of love, more blest may be the view;
  Else call it winter, which being full of care,
  Makes summer’s welcome, thrice more wished, more rare.


P.s: This sonnet is for you ;)

Thursday, September 26, 2013

Dompet 'kulit buaya' pun ada cerita

Suatu hari aku kehilangan dompet,
Tak risau kerana dalam dompet itu selalu tak berduit.
Lalu aku terus ke Mydin keesokan hari untuk membeli dompet baru,
Dompet murah, tak lebih sepuluh ringgit.

Lalu suatu hari aku duduk di meja makan bersama teman-teman
Tabiat biasa, dompet itu aku keluarkan dari poket lalu diletakkan di atas meja
Kebetulan hari itu dompet murah itu terisi banyak duit,
Bukan juga duit sendiri, duit campuran kutipan untuk photostat buku teman2
Jadi, bolehlah berlagak kaya barang sehari.

Lalu seorang teman secara tiba-tiba mengambil dompet murah itu dan keluarkan isinya
Lalu dengan riang dia berkata "wah, banyak hasil kau ni, dah kaya sekarang ya? Bolehlah belanja!"
"Ni dompet berapa harga? Nampak macam mahal"

Aku dengan muka bersahaja berkata, "tu dompet aku beli kat Mydin, tak sampai sepuluh ringgit, duit tu pulak duit kelas, aku kutip sebab nak bayar photostat".

Perlahan, dompet murahan aku diletakkan, lalu berkata si teman "cheh, ingatkan dompet kulit buaya tadi, nampak mahal dah".

Aku tersenyum sendiri.
Kekadang terfikir, itulah juga tafsiran manusia antara satu dan lainnya.
Kita tak perlu mahal dari asalnya.
Maksud aku, tidak kira kita berasal dari keluarga yg mana, kaya, miskin, semua sama
Namun bila kita berisi, maka kita akan dipandang mahal juga akhirnya
Maka jangan rugikan diri, jadilah mahal dengan menambah isi
Bukan tambah lemak, tapi tambah isi akal biar pandai
Sebab bila pandai, insyaAllah kita dipandang tinggi

Dipandang tinggi bukan nak mintak disanjung nak dipuji
Salah jika begitu fikirnya diri
Biarlah dipandang tinggi itu buatkan kita mudah memimpin
Memimpin ummat untuk jadi ummat yg ingat akhirat
Ummat yg taat, umat yg kuat beribadat
Tapi tak jugak dia tinggalkan semua tentang dunia
Pimpin mereka biar jadi hebat dua-dua.

Kalau juga memimpin bukan impian diri
Bila dada dah terisi
InsyaAllah kita dihormati dan dihargai
Lepas tu, boleh jugalah tabur bakti
Biar mak bapak tak rasa rugi dengan susu dan peluh yg di beri
Semoga mereka sentiasa senang hati

Ini cerita mulanya dari dompet murah
Harap isi murah ini juga dapat jadi pedoman
Jadi pengajaran, jadi permulaan orang-orang hebat yg  baru

Selamat memandaikan diri
Salam sayang, ~euw, geli....


Ni gambar permulaan cerita tadi. 

P.s: Jangan baca blog ni lagi kalau pandai yg kau cari, buka buku ilmiah, baca, hayati.Selamat mencuba!

Tuesday, September 17, 2013

Langkahan

Langkahan kaki itu diturut berjuta tujuan
Ada langkah yg ke arah kebaikan
Ada juga langkahan yg jauh tersasar

Langkah aku?
Jangan kau tanya
Kerna langkah aku ini kekadang tak bertujuan

Sesekali bertandang kesempadan hitam dihujung sana
Masih rindu, masih tercari arah cahaya
Namun, mungkin gelap sudah lama melindung
Cahaya itu makin ku lupa,
Makin ku biar terangnya sunyi tanpa penghuni

Maaf, diri ini kekadang lupa tujuan
Kekadang lupa keindahan cahaya
Bukan tak sudi, tapi masih sedar mulia itu tiada pada diri
Tapi pasti ku usaha ke arah itu lagi
Kerana hangatnya cahaya itu masih lagi ku ingini
Kerna jiwa ini sudah mengigil kesejukan
Kesejukan dari kurangnya iman

Semoga masih sempat bertukar haluan
Semoga cahaya itu akan menerangkan
Semoga diri masih sedar yg aku berTuhan..


~Buat diri dan diri, selamat malam.



Wednesday, September 4, 2013

Mommy, wake up!

Mommy, I miss him
I want him to sing me a lullaby, 
I want to touch his moustache,
I really miss his smile,
When will he come back?
Is it because he still mad at me?
Why they bury him mommy?

Mommy,
I’m starving, can I eat now?
I’m scared, there’s blood everywhere, 
I’m cold mommy,
Can you hug me?

Mommy!
You’ve been sleeping all day long
Mommy, I promise I will be a good girl
I will do everything you want
But for now, please wake up.
Please…. 

Mommy? 

Puisi tak bertajuk

Senyum dibibir ini makin mekar
Ya, aku mengaku makin segar
Hari-hari kian bersinar
Namun takut benar suatu hari akan pudar

Kekadang aku takut bila hati mula berbicara
Katanya nak indah-indah sahaja
Namun aku takut yang aku bawa hanyalah permainan dunia
Akhirnya kita sama-sama terleka, seketika, mungkin selamanya

Ya, benar manusia mudah tersasar
Namun perlulah kita ubah arah segera bila tersedar
Sebab takut jiwa makin berat dan sukar
Untuk kembali ke jalan yg benar

Puisi ini untuk aku, untuk bagi ingat
Pesanan ikhlas dari hati biar tarbiyyah tu lekat
Ni bukan puisi sastera yg hebat-hebat
Hanya nukilan hati seorang hambat yg iman tak kuat.


Malam suram, 3.21 a.m.
4/9/2013

Wednesday, August 28, 2013

Skru tercabut satu-satu

Kadang ramai keliru
Lihat aksi aku kadang2 menggila tak menetu
Nampak tawa riang ria dimuka
Hati ni luka, penuh parut ada kau tahu?

Tak semua cerita tu akhir dia bahagia
Sebenarnya banyak lagi yg cerita penamatnya merana
Mungkin tak merana di dunia,
akhirat kita tak tahu..

Kekadang ramai yg jadi hakim tak bertauliah
Suka nilai orang guna akal paras lutut
Tapi mereka tak sedar yg manusia ni memang selalu ada silap
Mungkin hobi agaknya terus hukum tanpa cuba bagi nasihat

ramai yg berkata mentaliti aku sebaya budak
Kadang aku bangga dan berharap kata-kata mereka tu realiti
Mentaliti orang tua tu buat aku jadi takut
Sebab budak-budak jiwa suci, tak ada iri hati tak ada benci

Masa depan aku masih tak nampak penamat yg pasti
Tapi aku harap paling tidak ada bakti
Moga usaha murni ni tak terkubur dengan sikap tamak pemikiran tua
Sebab bila tua kita makin cepat lupa

Ni puisi, puisi carca marba
Sebab apa? sebab skru aku hilang dah dari kepala..


Sayonara.....






Friday, August 2, 2013

Tips2 untuk sihat

Ini kisah dua orang kawan karib Azhar dan Ramlan...

Azhar ialah seorang pemuda yg sangat rajin bersenam. Hampir setiap petang dia akan pergi ke tasik seksyen 7 atau seksyen 2 untuk berjoging dan melakukan aktiviti kecergasan yg lain.

Ramlan pulak amatlah jarang kelihatan keluar dari rumah.. Nak pergi bersenam di padang tu lagilah payah, ye tak? 

Tapi yg hairannya, Ramlan pula kelihatan lebih muscular dari Azhar. Azhar percaya bahawa Ramlan sebenarnya mempunyai kelebihan itu secara semulajadi (Gifted kata orang putih). 

Akhirnya, dek kerana cemburu, Azhar menikam Ramlan menggunakan pisau lalu Ramlan pun mati (ok, part bunuh2 saja tambah utk effect thriller sebab ade je yg paksa aku tulis cerita thriller, hehe)...

(Berbalik pada cerita tadi)

Sebenarnya, apa yg Azhar tak tahu ialah, ketika dia keluar untuk bersenam di luar, Ramlan sebenarnya turut bersenam di rumah. Hasil dari menonton youtube, dia berjaya mencari senaman yg lebih effektif utk menjadi seorang yg muscular. 

Dia juga turut menjaga pemakanannya kerana apa yg dia tahu, untuk mendapatkan badan yg lebih sihat, 70 peratus daripadanya datang daripada pemakanan, hanya 30 peratus sahaja kesan itu terhasil dari senaman.

Kesian Azhar, akibat tak tanya dia telah membunuh rakannya yg tidak berdosa...

Cerita ini samalah juga dengan kita.. Kadang2 kita terlampau taksub dengan perkataan gifted dari perkataan effort.

Kadang2 bila kita tengok kawan kita itu pandai, kita rasa dia mempunyai kelebihan dan kita ni yg serba kekurangan akan terus ketinggalan.

Contohlah, macam Afiq (harap x marah ye bro,), ramai orang kata yg dia ni IQ  terlebih.. Aku pun percaya jugak benda tu, tapi yg kita x nampaknya usaha dia. Dia jadi pandai sebab dia sangat2 rajin dan minat membaca. Dia minat dengan segala fakta. 

Selebihnya tu barulah boleh kita katakan kelebihan yg Allah kurniakan untuk dia. Tapi percentage tu sangatlah sedikit. Walau dia pandai sekalipun, kalau dia tak ada usaha nak membaca, nak berusaha, mana mungkin dia berjaya, ye tak? 

Kita yg lain2 ni jadi kurang sikit sebab kita baca, tapi baca terpaksa. Kira nasib baiklah kalau nampak pengang buku seminggu sebelum exam, selalunya kita pegang buku bila, bukan ke sejam dua sebelum exam? Lepas tu nak salahkan takdir sebab kita ni kononnya kurang pandai. 

Ni fakta. Kita iri hati bila orang lebih dari kita.. Kita lupa, kita perlu berusaha... Ada jugak yg lupa nak doa lepas usaha.. Banyak yg doa sahaja... Tapi yg paling ramai langsung tak buat dua2.. Macam terasa pulak time tulis ni... takpe, nasihat untuk diri sebenarnya ni.

Memang, mungkin ada manusia yg ada kelebihan, itu tak boleh dinafikan.. Tapi jangan sesekali buat2 tak perasan ramai lagi yg berjaya tu sebab usaha dia kuat, doa sentiasa dia buat. Kita kat mana? Kita rasa dah usaha tapi gagal? Cuba check betul2, betul ke dah usaha? Betul ke niat tu?

Mungkin akan ada yg kata kenapa cerita tentang orang betul (Afiq), bagi aku tu benda baik, so buat apa nak sorok, macam lah kita x pernah mengata orang kan? At least sesekali usaha dia tu aku nak puji, walau bukan depan2 tapi kat sini tak salah kan? Orang yg x pernah mengata orang ni yg aku pernah kenal Mamat Sudah je.. (Kalo ko bace ni mat, dan ko rase ni tipu, anggaplah ini satu doa, kbai..) 

Rasanya cerita ni applicable untuk semua benda, bukan sahaja usaha dengan dunia, akhirat pun boleh kita kaitkan sama. Terpulang pada kita untuk guna akal tu dan kaitkan apa yg aku tulis ni dengan kisah hidup semasa...

Semoga kita sama2 berjaya... Aku harap berjaya dua2... aku harap tulisan ni bukan sia-sia.. 

Assalamualaikum...


P.s: Aku memang fail bab pilih nama watak, sorry.. (Ramlan tu la yg aku rasa agak kronik).


Ini pisau yg telah menikam Ramlan (dan juga kita?) ;)

Pssttttt, ada orang cakap.....

Ada orang cakap orang yg tak nak duit satu juta tu bodoh,
Aku rasa tak...
Sebab buat apa nak satu juta kalau dia boleh dapat lebih, kan, x ke?
Mungkin kalau dia ambik satu juta tu, lepas tu dia hilang semuanya,
kan rugi namanya tu..

Tapi orang yg cakap orang yg xnak satu juta tu bodoh mesti bodoh kalau dia tolak satu juta tu
Sebab rasanya walau kerja berjuta tahun pun belum tentu dia akan dapat sebanyak tu
Sebab pemikiran dia terlampau cetek dan jumud x mau bergerak
Mana mungkin dia nk jadi maju
Baru dapat lebih sikit dah rasa terlampau banyak
Tapi persoalan utamanya, ada ke orang yg nak bagi dia satu juta tu? lulz2

Bersyukur tu memang perlu,
Tapi bersyukur tu patut buatkan seseorang itu mahu usaha untuk dapatkan yg lebih banyak,
Bukan berhenti dan terus x bergerak
Sebab bersyukur membuatkan seseorang akan lebih kuat berusaha
Orang yg tak bersyukur je yg cepat gelap mata dan cepat nak jadi kaya ;)

~Salam Ramadhan Al-Mubarak, jangan lupa niat puasa


Post kali ni yg menarik just gambar ni je... Yg tulisan2 tu sume mcm ntah pape jee... ish3 ~heh!

Thursday, August 1, 2013

Ada dan Tiada Dalam Satu Garis yg Sama

Ada yg bertanya

"Zul, kau xnak ada makwe?"

"Taknak, tapi nak"

Aku menjawab selepas teh tarik menuruni rengkung.

Ya lah, aku mungkin tidak mahu ada sesiapa waktu ini.. Belum bersedia, itu faktor utama. Tapi fitrahnya manusia itu inginkan pasangan. Jadi setiap kali perasaan itu datang, aku elak dengan buat perkara bukan-bukan. Menyanyi, kacau kawan, lompat2, dan paling extreme, gelak sorang2..

Itu yg buat kawan2 jadi pelik. Tapi apa yg aku buat ni lah namanya self-distraction. Orang apa tau, tapi nasib baik mereka tak judgemental dengan aku. Itu sebab aku sayang mereka

Kadang-kadang tengok orang keluar dengan pasangan hati ni pun turut terbayang membawa pasangan. Tapi bila sedar yg aku ni tak bersedia, aku cepat-cepat bayangkan aku sedang memasak mee segera ketika waktu hujan. Wah, enak pula terasa, lalu aku mengubah haluan untuk pergi mencari makanan.

Dan itulah yg meenyebabkan berat badan aku naik bila aku di atas timbangan. Mungkin ia turut naik seiring dosa yg aku lakukan. Dulu kecik2 selalu jugak cakap orang berat dosa. Namun kata2 itu baru sekarang  pula terasa. Ya, itu memalukan.

Hari esok masih misteri, siapa pasangan atau mungkin berseorangan aku tak tahu. Tapi yg pasti bila berpasangan sebolehnya janganlah dia hanya sekadar makwe, awek, cikaro dan sebagainya... Tapi isteri. Itu yg aku harap dan mahu, moga aku kekal ingat azam yg ditanam.

Risau melihat anak2 muda yg sibuk bercintan cintun, kadang2 mereka ni macamlah kartun. Tiba2 terkenang alam persekolahan. aku juga begitu, pernah ditempat itu. Sedih dan lucu tiba2 datang berselang seli. Alangkah indah jika jiwa muda dan penuh tenaga itu dicurah ke tempat yg lebih berguna dan bermaruah? Pasti merekalah yg bakal menegakkan kalimah syahadah.

Bukan lembik, lemau..

Kadang ada yg kata, biarkan mereka tersilap, kerana kesilapan mengajarkan mereka erti kehidupan. Itu benar, tapi yg aku takutkan, kesilapan itu berlanjutan lalu menjadi barah dan memusnahkan masa hadapan. Apa lagi yg tinggal untuk mereka gunakan?

Ah,kataku ini sudah melalut kelaut. Berbalik kepada topik mula tadi.

Jika ditanya sudah ada calon atau belum, jawapannya ada dan tiada. Ada kerana di muka bumi ini masih ramai lagi wanita dan tiada kerana tiada siapa yg aku berani katakan dia yg aku benar mahu dan mampu. Mahu ada tetapi mampu entah kemana juga tak berguna bukan?

Biarlah diri membuat persiapan. Moga ada kekuatan. Moga hati dekat dengan Tuhan, lalu Dia menemukan, disatukan.

Luahan hati yg nampaknya macam bukan2.. Moga ada pengajaran.. Moga~



Mungkin gambar ini agak keterlaluan, namun ya, apa salahnya untuk sekadar hiasan ;)

Wednesday, July 31, 2013

Buat Si Dia, Yg Tersayang.... ;)

Ni budak yg menaip ni,
Nakal, degil, manja, tak matang.. ya, memang..
Maaf banyak kata kasar telah terkeluar
Kadang-kadang sedar diri ini kurang ajar...
Maaf dan terima kasih kerana dirimu masih bersabar..
Sebab itulah sentiasa menjadi yg tersayang dihati

Tak pandai pulak diri ni nak bagi bunga
Namun bukan bermakna diri ini lupa
Ucapan dan doa sahaja yg diberi ikhlas
Benar diri ini tak bohong,
Hati memang setulus menyinta.. menyayangi.. setiap hari.. itu janji yg pasti

Sepanjang kita bersama dari hari mula hingga kini
Diri ini sentiasa bangga bila bersama
Mengajarkan untuk terus tersenyum waktu dugaan datang membadai jiwa yg rapuh
Akhirnya halangan itu berjaya kutempuh

Masih ingat lagi pangilan yg berkali-kali sebelum langkah ini dimula
Masih  terasa akan risaunya dirimu bila kita berjauhan
Dan memori itu masih lagi akan membuat air mata ini menitis kesedihan...
Ya masih dan sedang..

Yg tersayang, selamat hari lahir
Luahan ini biar kekal disini,
Ini anakmu kongsi
Untuk semua tahu betapa beruntungnya anakmu mempunya dirimu sebagai ibu disisi


*Tapi sayang, ucapan ini hanya di alam maya dan di hati, nak luah segan sebab madahnya takut boleh muntah dan memuntahkan.. ;)

Sahaja Aku berpuasa atau aku berpuasa saja-saja ada bezanya

Yes, It has been a very long time since my last post here...

Maybe this will be a very short post, just for myself and hopefully it can be a very useful note for everyone (ok let's hope together :p )

Sahaja aku berpuasa atau aku berpuasa saja2, yup, since this is the fasting month, I think this title will suit  my note...

Am I fasting to fulfil something or I just fast for the sake of fasting won't be the same. If we fast to get the rewards from Allah S.W.T it wil be very good for us, but if we just fast because everybody are doing it, then we will only suffer from starvation and thirst. Nothing more.

It's the same with no matter what we do. If we've set our mind for a good result when we do something, the result won't be the same as when we do it blindly.

Perhaps we can change our attitude. When we want to do something, make sure that it is beneficial for us and everyone else. Don't do it if we know it won't give any good outcomes. Please don't waste our time.

That's all for you Mr Jebat,
May peace be upon you... ~Peace!


Sunday, March 3, 2013

Let's think and hopefully do something..!!

*This entry will be in Malay because I really hope that many of us (Malaysians) can read this and understand it ~well.. very well.. "awesomely well"..yada-yada..

Satu fakta yg menarik tentang kita golongan muda mudi terutamanya di Malaysia ialah kita terlalu teruja dan terlalu leka dengan kisah yg berkaitan perasaan (terutamanya cinta) dan juga hiburan. Betul?

Ok kalau salah, saya/aku/ana mintak maaf banyak2 dari hujung rambut sampai hujung kaki... Tapi-

Cuba fikirkan semula... Imbas balik apa yg paling kita sibuk fikirkan hari ini?

A. Tetang bagaimana nak majukan negara?
B. Tentang bagaimana nak memajukan diri dan anak bangsa?
C. Tentang bagaimana cara untuk meningkatkan iman dan takwa?

atau

D.. Tetang si dia, atau tentang rasa tak suka kepada seseorang, atau tentang cara untuk cepat kaya tanpa banyak usaha atau tentang artis2 (terutamanya gadis) dan pasukan bola manakah yg paling hebat musim ini (terutamanya abg2 hensem dan kacak diluar sana) atau parti politik manakah yg patut diundi dan jom kita kutuk parti yg tidak kita sukai (ops) ~maaf kerana letak banyak 'atau' ye

Jika jawapan anda tidak ke arah D, tahniah saya ucapkan..

Permasalahan utama kenapa kita semakin lemah dan kurang daya produktiviti adalah kerana kita terlalu lebihkan perkara2 di D dan seterusnya membuatkan kita kurang menumpukan perhatian kepada perkara2 lain yg jauh lebih penting...

Lihat sahaja di media... Drama-drama swasta/bukan swasta kerap memaparkan kisah cinta, tidak kiralah yg Islamik atau tidak asalkan ia tentang cinta, maka akan banyaklah penontonnya.

Apa terjadi pada siri2 dokumentari pejuang negara? Kisah2 zaman anbiya'? National geographic? dan yg lain2 yg lebih ilmiah? Ramaikah yg akan menontonnya? Pastinya tidak dan jika ada pun, saya sangat yakin ia tidak akan seramai yg akan menonton drama2 cinta dan rancangan hiburan yg kebanyakkannya melalaikan ini

"Err.. Incik Jazul, kan dalam agama (Islam) pun ada disebut tidak salah untuk berhibur? (Harus)"

Adakah ada yg sedang memikirkan statement diatas? Jika ada, ini jawapannya

"Memang tak salah untuk berhibur, tapi jangan sampai berlebih lebihan dan seterusnya  melalaikan diri.." Saya juga kekadang menonton running man, boboiboy, shinchan, power rangers, doraemon, drama2 korea ~you name it!

Tapi apa salahnya jika kita kurangkan? Apa kata kita lebihkan masa untuk melebihkan perkara2 yg baik dan berguna untuk diri, keluarga, jiran sebelah, orang2 setaman/kampung, daerah, negeri, negara dan seterusnya dunia?

Masa untuk rakyat muda (dan juga tua) Malaysia untuk berubah... Ambillah masa, tuntutlah ilmu lakukan sesuatu yg lebih produktif.. Masa muda itu datang tak lama, sekejap je kita dah nak tua dah... Maka ubahlah pemikiran itu segera... Jangan terlalu leka bermain dan berhibur sahaja...

Bagi yg muslim, dalamilah agama, ada kejayaan bila kita jadikan agama yg utama dan kerjaya di tempat pertama.

Ini saya tujukan juga kepada yg berlainan agama kerana saya yakin, setiap agama, terasnya inginkan kita menjadi individu yg baik. -Betul tak?

Apa yg saya tulis ini mungkin juga saya tidak akan amalkan nanti.. Kerana sifat manusia itu mudah lupa.. Tapi alangkah untungnya saya jika ini dapat menyedarkan anda yg sedang membaca.. Moga suatu hari nanti, anda akan jadi orang yg berjasa kepada komuniti dunia...

Sekarang anda ada dua pilihan

A. Berubah  atau  B. Abaikan apa yg anda baca ini

Pilihan milik anda... Saya tak memaksa...


Sekian.. ~Peace!


Sunday, January 13, 2013

Debat Kedai Kopi (cerita fiksyen)

Pak Abu, Pak Mail, dan Pak Samad... Rakan karib yg sentiasa bersama dari muda hingga tua. Hobi mereka ialah bersembang di waktu petang. Setiap hari, ada saja perdebatan yg mereka buat hingga kekadang tak pernah ada penamat...

Pak Samad: Mail, Abu, aku rasa aku suka lah tengok kereta Myvi, besar, selesa, murah. Jom kita beli sama-
                    sama.

Pak Mail: Eh, ye ke? aku tengok Proton Saga lagi cantik la, nampak sporty gitu. Sesuai untuk orang yg
                berjiwa muda macam aku. (Sambil tersenyum menampakkan giginya yg tinggal sebatang itu)

Pak Abu: Mana boleh! Aku lagi suka kereta Viva, lagi jimat antara semua. Kos nak servis pun tak tinggi.
               (Pak Abu yg bersaiz kecil meninggikan suaranya)

Dan... perdebatan itu berlangsunglah dari selepas waktu Asar, hinggalah ke waktu Isyak. Masing-masing dengan hujah sendiri. Masing-masing hendak menang. Tapi mereka lupa, waktu Maghrib sudah pun terlepas... Isu yang tadinya mereka debatkan belum jua nampak penyelesaiannya dan solat, yang menjadi perkara wajib untuk mereka, terabai...

...................................................................................................................................................................

Kadang2 kita lupa:

Kita debatkan tentang sesuatu perkara sekadar hendak menangkan apa yg kita suka, namun kita lupa, setiap orang ada pendapat mereka sendiri... Kita gagal untuk raikan perbezaan.

Yang kita tahu, pendapat kita sahaja yang betul. Kita tutup telinga bila orang lain memberi hujah mereka. Kita akan cuba sedaya upaya mencari apa yang salah untuk kita menang. Lalu terjadilah permusuhan kerana kita berdebat untuk saling menjatuhkan bukan tolong menolong untuk saling menguatkan.

Lebih malang, dek kerana terlalu asyik dengan perdebatan kosong itu, kita lupa perkara-perkara wajib yg menjadi tuntutan. Menghina, mencaci, mengkeji sesama sendiri menghiasi perdebatan yg terang2 salah lagi bertentangan dengan hukum yg digariskan Allah.

Jadi, saya selaku orang yg duduk memerhatikan perbualan Pakcik bertiga itu tadi rasa terpanggil untuk mengeluarkan pendapat dan memberi nasihat. Mungkin ada yg tak suka, tapi ini pendapat saya. Jika tak suka abaikan sahaja.

Kedai kopi (Facebook, Twitter dan Blog) boleh menjadi tempat berkongsi segala macam benda untuk dicerita. Masing2 boleh memberikan komen sendiri, namun jgn terlalu taksub berdebat hingga lupa untuk beradab ketika berinteraksi.

Debat dibuat untuk selesaikan masalah, bukan mencari siapa betul. siapa yg salah... Jadi kurangkan masa berbalah, lebih baik banyakkan masa untuk bekerja, berusaha dan berubah... Dengan itu, Insya-Allah umat kita akan jadi terbilang dan gagah.

~Peace!


This is what we need.. Yes!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jejak Kasih